Monday, July 20, 2009

A . K . U

Aku :

Bengang
Bosan
Muak
Geram
Penat
Letih
Marah
Buntu
Rajuk
Lelah
Sesak
Sebal
Cemuh
Gusar
Hampa
Jelik
Lemau
Mabuk
Nanar
Perit
Resah
Sasau

Monday, July 13, 2009

jiwa-jiwa [2]

kau inderaloka

Beribu batu, berjuta waktu
Berkelana, menitip wajah kamu,
Meredah langit kelabu, terapung di atmosfera keliru,
Langsung sesat dalam bayangan samudera,
Rintih menyahut dalam ribut,
Sampai kabut menyalut sukma.
Rindu? Ya, benar-benar rindu, indah!
Suka? Sungguh! Selamanya begitu.
Cinta? Entah. Belum bertamu pada asmara, rentak gelisah hanya mencipta gelora.

Nun di sudut sana, ada kelibat tersua,
Milik kamu,
Tuntas mengheret ingatan ke singgahsana rasa.
Mersik mengalun rindu dan suka, menggoncang suasana.
Bagai mekar harum kesuma syurga,
Bagai purnama melimpah cahaya,
Tinta kencana indah terpatri,
Hajat di hati, moga diberkati.
Bernafaslah di sisiku, sampai mati.

Sayu, meruntun pilu, menjejak rindu menderu,
Kalam suci bertaut pada kalimah kasih,
Rendang meredup terik cemburu.
Badai kan reda, Ribut kan sentosa,
Resah menghilang tiba-tiba.
Rindu itu asyik, suka ini menggila,
Bantu aku, meneguk embun asmara.

Mari aku cantum anganmu,
Mari aku risik kasihmu,
Rela aku memujuk sendumu,
Rela aku mengirai rindumu,
Cinta, sama-sama kita seru,
Kamu...inderaloka ku!

Tuesday, July 7, 2009

kerana dia

Kerana dia, aku bersarapan pagi dengan nesvita 3-in-1 dan makan tengah hari dengan high-5 50sen, tapi aku masih bersyukur, aku masih boleh mengisi perut yang keroncong.
Kerana dia, beberapa keperluan asas peribadi aku terpaksa aku abaikan, namun aku masih berterima kasih atas kurniaan kesihatan yang cemerlang.
Kerana dia, suka ria aku bersama teman-teman jadi beku, tidak semeriah dulu. Walaubagaimanapun, aku masih punya teman-teman yang memahami, aku tuntas menghargai. Sungguh!
Kerana dia, hari-hari aku dihantui kerunsingan memahami sifat dan sikap dia, namun aku masih sabar melayani kehendak dia, menurut kemahuan dia.

Segala pengorbanan telah aku peduli, ini balasan yang dia beri? Ohh bumblebee..

Inilah hasil keyakinan yang benar-benar mantap semasa melakukan pengunduran ala-ala tiga penjuru. Hah!!

Monday, July 6, 2009

apa salah saya?

"I tak pernah tahu pun keputusan yang ambil ni betul atau salah. Sampai sekarang I tak tahu. Dan I tak pernah pun cuba untuk tahu. Apa yang penting I mesti bertanggungjawab dengan keputusan yang I ambil."
Baru-baru ini aku dapat ramai kawan baru. Mereka sebenarnya rakan-rakan kongsi kepada seorang teman lama aku semasa aku di sekolah menengah. Teman lama aku ini boleh dikatakan seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya. Bermacam-macam aktiviti telah aku sertai bersama mereka. Bukan apa, aku merasakan bahawa dalam usia yang telah menginjak suku abad ini aku perlu ada aktiviti sosial yang mana aku bergaul dengan orang ramai, dan dalam masa yang sama dapat memulihkan lagi hubungan sosial aku dengan orang lain yang selama ini aku rasa amatlah tenat. Selain itu aku dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan baru, dan dapat bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang sesuatu perkara. Mereka juga mudah serasi dengan aku, walaupun hanya baru mengenali mereka dalam masa yang amat singkat. Namun begitu, keserasian ini bukanlah tajuk utama yang aku mahu kongsikan.

Aku secara dasarnya, tahu, amat faham akan dunia perniagaan, dunia ahli perniagaan, walaupun aku bukanlah salah seorang ahli perniagaan. Seorang ahli perniagaan perlu ada keterampilan yang hebat, atau setidak-tidaknya perwatakan yang disenangi, untuk mempromosikan apa yang diniagakan seterusnya dapat menarik minat pelanggan. Jadi cara berkomunikasi juga termasuk dalam keterampilan atau perwatakan supaya objektif perniagaan terlaksana. Begitu juga dengan rakan-rakan kongsi kepada teman lama aku ini, yang merangkap kawan-kawan baru aku. Mereka ada cara tersendiri untuk berkomunikasi sesama sendiri dan sesama pelanggan masing-masing. Apa yang menjelekkan aku, cara mereka membahasakan diri mereka sendiri semacam menjengkelkan di telinga aku. Mungkin apa yang aku katakan ini amat keterlaluan, namun itulah yang jiwa aku definisi apabila mendengar mereka berkomunikasi. Membahasakan diri sendiri dengan perkataan 'I' dan disambung dengan perkataan dalam Bahasa Melayu, atau memulakan perkataan dengan Bahasa Melayu dan disambung dengan perkataan 'I' untuk ganti diri, bagi aku ada kejanggalan pada bunyi ayat yang ditutur, terserlah amat. Macam makan tempoyak dengan nasi beriyani, walaupun masih boleh ditelan namun bila sampai di kerongkong rasa loya masih ada. Begitulah yang aku rasa apabila mendengar mereka berbicara, atau semasa berbicara dengan mereka, masih boleh aku dengar dan respon, namun dalam masa yang sama terpaksa menahan gegendang telinga bila perkataan 'I' memenuhi ruang bicara. Aku? Aku tetap membahasakan diri dengan perkataan 'Aku' kerana bagi aku, apabila aku membahasakan diri aku sebagai 'Aku' dan bukan 'Saya' apatah lagi 'I', bermakna aku sudah selesa dengan kelompok manusia yang aku hadapkan semasa percakapan, yang mana bermaksud aku sudah boleh menjadi diri aku sendiri di hadapan mereka.

'Aku' mungkin tidak begitu sopan untuk dibicarakan semasa berurusan dengan pelanggan, namun salahkah kalau membahasakan diri sendiri dengan perkataan 'Saya'? Adakah mereka merasakan bahawa taraf diri mereka jatuh terinjak kalau menggunakan perkataan 'Saya'? Setinggi dalam kah taraf diri dilambung kalau menggunakan perkataan 'I'? Aku tidak hairan dan tidak hirau andai mereka terdiri daripada berbilang bangsa, kerana aku amat faham akan kedudukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara bagi sesetengah kaum. Namun malangnya mereka semuanya terdiri daripada kaum Melayu, bukan campuran bukan kacukan. Apa hina sangatkah kalau menggunakan bahasa sendiri? Aku mengerti kalau mereka konon-kononnya mahu memperbaiki tahap penggunaan Bahasa Inggeris dikalangan mereka memandangkan mereka merupakan ahli perniagaan yang harus tahu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai nilai tambahan terhadap gelaran ahli perniagaan yang unggul. Namun kalau setakat membahasakan diri sendiri sahaja digunakan dalam Bahasa Inggeris, pada pendapat aku hanya akan merosakkan bunyi ayat, yang mana boleh mendatangkan kejengkelan kepada orang yang mendengar, paling malang bila orang yang mendengar itu adalah aku. Kalau pun mereka bertujuan untuk memperlihatkan formal dalam setiap bicara, ada cara yang lebih berkesan selain mengunakan ganti diri 'I'. Sesama rakan kongsi pun perlu formal kah?

Bukanlah bermaksud aku anti-Bahasa-Inggeris dan amat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa-Jiwa-Bangsa. Aku suka dengan Bahasa Inggeris, dan aku lebih suka berbahasa Inggeris untuk menyatakan sesuatu yang aku rasa amat pelik bila dituturkan dengan Bahasa Melayu. Contoh paling mudah aku lebih selesa menggunakan 'I love you' berbanding 'Aku cinta padamu', apatah lagi 'I cintakan you' atau 'I sukakan you'. Maksud aku di sini, aku lebih rela berbicara atau mendengar bicara yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya, yang mana aku dapat memperbaiki tahap penggunaan Bahasa Inggeris aku, biarlah kalau ada orang menganggap aku cakap besar atau cakap-cakap kosong sahaja, setidak-tidaknya aku masih memelihara bunyi ayat. Berbalik kepada rakan-rakan kongsi teman lama aku yang merangkap kawan-kawan baru aku ini, apalah salahnya kalau mereka terus menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya, setidak-tidaknya dalam satu ayat, atau terus membahasakan diri dengan perkataan 'Saya'. Bagi aku tidak ada celanya, malah lebih manis. Secara tidak langsung boleh mewujudkan ruang selesa dan seterusnya dapat lebih dekat dengan pelanggan.

Aku cuma tulis apa yang aku rasa, bukanlah bermaksud mempersenda cara mereka berkomunikasi, malah tidak terniat pun untuk memandang serong. Mereka secara peribadinya, amat ramah, mungkin itu ciri-ciri ahli perniagaan. Cara mereka tidaklah sombong atau hidung tinggi walaupun mereka memiliki pendapatan yang bukan calang-calang. Cuma bicara mereka amat menarik minda aku untuk memarut pendapat dan buah fikiran kerana dunia mereka amat berbeza dengan dunia aku. Aku lebih banyak berbicara dengan mesin, sementara mereka sudah pastinya sentiasa berkomunikasi sesama manusia. Jadi bahasa yang mereka pakai tentu berbeza dengan yang aku guna. Cara mereka memandang sesuatu juga turut berbeza, atau setidak-tidaknya mereka memandang sesuatu dari sudut yang berbeza dengan aku. Yang ini lah yang menjadi daya tarikan untuk aku lebih mengenali mereka.

Wednesday, July 1, 2009

jiwa-jiwa [1]

aku, kamu - mengapa ada dia?

Semalam
Kita masih di situ, meneka perasaan
Kita masih di situ, memandang keliru
berpura menyembunyi cinta,
Benarkah cinta ada di situ?

Semalam
Kamu masih gelisah mengalih pandangan mata
bila sinar mataku memanah tepat,
Lalu wajah kamu paling
mahu merawat debaran dalam dada.
Mungkinkah debaran itu seiring getar jiwaku?

Semalam
Aku seorang sendiri
menangis memujuk lara,
mengubat luka kecewa,
memandang ke dalam diri, menemu alpa.
Sirna semangat aku, hilang bersama angin rindu
Sendu mengiringi.
Ego akukah yang meracuni?

Hari ini ...
Kita tidak punya rasa untuk dikongsi.
Kamu bawa debaran itu bersama dia.
Aku hanya di sini menghitung memori.
Semua sudah bernokhtah menuju mati.