Saturday, June 26, 2010

Pahit manis Piala Dunia

Perkara-perkara yang memalukan/mengecewakan anda sebagai pemain bola sepak piala dunia:

1. Apabila gagal meyakinkan pengadil bahawa anda betul-betul tercedera setelah dijatuhkan pihak lawan, walhal anda tidak langsung tercedera, atau anda tidak sepatutnya terjatuh pun sebenarnya, dengan harapan pihak lawan yang menjatuhkan anda akan dilayangkan kad kuning, atau merah. Malah anda dipaksa untuk bangun, dan yang paling memalukan, anda sendiri yang dilayangkan kad kuning atau merah.

2. Anda menjaringkan gol ke gawang sendiri, secara sengaja atau tidak sengaja, sekaligus memberi mata kepada pihak lawan.
Secara sengaja-mungkin pada separuh masa kedua, dimana pasukan anda dan pihak lawan bertukar tempat, dan anda terlupa bahawa gawang gol pasukan anda dan pasukan lawan sudah bertukar.
Secara tidak sengaja-anda mahu menahan bola daripada masuk ke gawang pasukan anda, namun bola terlantun dengan cantik ke dalam gawang gol pasukan anda.


3. Anda tergelincir di tengah padang kerana terpijak bola, kerana anda sebenarnya mahu menunjukkan kepada dunia kemahiran menggelecek yang anda miliki.

4. Anda berlari mengejar bola yang sedang digelecek oleh pasukan lawan, namun anda terjatuh kerana tersadung kaki sendiri.

5. Anda menyepak angin, atau menanduk angin, kerana anda tersalah menganggar sasaran.

6. Anda merembat bola dalam jarak 50 meter dari gawang gol, dengan harapan bola akan tepat masuk ke gawang gol. Malangnya bola terlantun terlalu tinggi, hingga ke bangku penonton, atau terlalu ke kiri atau kanan dari gawang gol, sehingga penonton meragui penglihatan anda. Adakah anda juling?

7. Anda dapat sepakan penalti yang hanya kurang 30 meter dari gawang gol, namun anda gagal menyempurnakan sepakan anda, bukan sebab penjaga gol berjaya menahan bola daripada melewati pintu gol, tapi sebab sepakan anda jauh tersasar dari tiang gol.

Perkara-perkara yang manis (sweet) semasa perlawanan bola sepak piala dunia:

1. Strategi jaringan gol - sama ada memang diatur atau hanya secara kebetulan.


2. Pemain-pemain saling berkejaran dan berpelukan sesama sendiri, (kadang-kadang saling berciuman) lalu saling menindih meraikan jarinagn gol yang berjaya disempurnakan.

3. Penjaring gol meluncur di atas padang dalam keadaan melutut, atau meniarap, atau terlentang selepas berjaya menjaringkan gol, sehingga seluar pendek yang dipakainya terselak menampakkan daging paha yang kental dan berketul-ketul, sungguh seksi. Haha..


4. Penjaring gol berlari sekeliling padang, atau berlari ke arah penyokongnya, sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuk, atau membuat isyarat bagus, atau mengangkat kedua belah tangan, selepas gawang pihak lawan berjaya dibolosi.

5. Setelah pengadil meniup wisel penamat, pasukan yang menang bersorak dan saling berpelukan meraikan kejayaan, namun setelah itu bersalaman dengan pasukan lawan yang kalah, dan yang paling manis mereka saling bertukar jersey dan berpelukan dengan pasukan lawan yang tidak bernasib baik.


Ini cuma observasi ringkas yang dapat aku analisis kerana aku memang gemar menonton perlawanan bola sepak piala dunia, sambil berbalas-balas komen di Facebook dengan seorang rakan lama yang juga berkongsi minat yang sama, atau berbalas-balas SMS dengan seorang lagi rakan yang merupakan penyokong setia pasukan kelab Manchester United. Aku pernah singgah di Behrang semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman aku, semata-mata tidak mahu terlepas siaran langsung perlawanan antara German menentang Serbia. Serata Behrang aku jelajah mencari kedai makan di tepi jalan yang mungkin menyiarkan rancangan secara langsung tersebut. Walaupun hanya sempat menyaksikan separuh masa kedua, aku berpuas hati dapat menatap pemain pujaan, Lukas Podolski..hehe..sungguhpun sebenarnya persembahan permainan mereka menghampakan aku. German kalah di tangan Serbia dengan 0 gol berbalas 1.

Sunday, June 20, 2010

Selamat Hari Bapa


Usia digadai, harta tak dipertikai,
Biar dipeluk sengsara, tak kisah diriba derita,
Demi zuriat tercinta, rela berduka.
Bapa, tabahlah. Ujian Tuhan penghapus dosa.
Sekalian waris di sini setia di sisi.
Wahai Maha Kuasa, rahmati bapa...


Thursday, June 17, 2010

signal - petunjuk atau petanda?

Tepat 5.30pm, aku sudah berkemas untuk pulang dari tempat kerja. Kurang lebih 20 minit kemudian, aku sudah berada di jejeran kenderaan yang berpusu-pusu untuk melewati tol. Keadaan agak sesak, sementelah waktu pejabat tamat pada jam yang sama kebanyakannya. Kenderaan yang mahu ke kiri, kenderaan yang mahu ke kanan, kenderaan yang mahu memasuki barisan, pemandangan yang normal bila berada dalam kesesakan sebegini. Mujur aku sudah berada dalam barisan 'Tunai & Touch n Go', sungguhpun pintu tol nun jauh di hadapan, aku sabar menanti giliran. Di sebelah kanan, sebuah pacuan 4 roda mahu mencelah di hadapan aku. Lucunya, penumpang di sebelah pemandu beriya-iya menggawang tangan kepada aku, sambil tersengih-sengih, isyarat supaya aku memberi laluan kepadanya. Aku tidak kisah membiarkannya mencelah di hadapan aku, walaupun penumpang berhemah itu tidak memberi isyarat tangan, sementelah signal ke kiri sudah dipasang. Namun setelah pemandu pacuan 4 roda itu telah berada di hadapan aku, penumpangnya masih lagi melambai-lambai tangan, mungkin tanda terima kasih. Aku hanya mengangkat tangan kembali, supaya penumpangnya berhenti daripada melambai-lambai dan tersengih-sengih. Aku tidak kisah, ragam orang memang pelbagai. Dari dalam kenderaan, kedua-dua pemandu dan penumpang kelihatan berkulit gelap, atau mungkin sebab cermin tingkap kenderaan tersebut yang terlalu gelap. Apa yang pasti raut wajah mereka berbangsa India.

Tidak semena-mena, entah dari mana, sebuah kereta wira kelabu muncul tersua-sua dari sebelah kiri aku, menyorong saja muncungnya ke depan, tiap kali aku maju, mahu menyaingi aku. Dan entah dari mana datangnya rasa tidak mahu memberi laluan kepada kenderaan itu, aku sedaya upaya mendekatkan jarak kenderaan aku dengan kenderaan di hadapan, iaitu pacuan 4 roda tadi. Semuanya hanya satu sebab, pemandu proton wira yang tersua-sua itu langsung tidak memasang signal ke kanan sementelah mahu menyelit di hadapan kenderaan aku. Dan apabila sudah sampai ke pintu tol, berlakulah kejadian di mana aku membunyikan hon sebanyak 2 kali kepada pemandu tersebut, dimana hon kali kedua aku bunyikan agak lama. Hon kedua aku bunyikan sebab apabila aku memandang ke arah kereta itu, penumpang kanak-kanak di tempat duduk belakang sedang ketawa ternganga-nganga sambil memandang ke arah kenderaan aku. Memang menyirap darah ke muka, naik ke otak, turun ke hati yang panas. Lucu agaknya apabila pemandu (mungkin ibunya) berjaya mencatas barisan, tanpa perlu memasang signal. Dalam hidup aku setakat ini, perkara yang paling menaikkan kemarahan aku adalah apabila komputer yang aku sedang guna hang, dan apabila aku tersua dengan pemandu yang malu dan segan memasang signal kenderaan mereka ketika mereka mahu ke kanan atau ke kiri, lebih-lebih lagi mahu memotong barisan semasa kesesakan trafik, seperti situasi di tol itu. Sampai giliran aku membayar harga tol, aku buat muka selamba, macam tak ada apa-apa berlaku, jadi jurutol tidak akan mengesyaki apa-apa, moga-moga.

Sambil memandu meneruskan perjalanan, aku teringatkan kata-kata seorang teman aku, yang terlalu pesimis terhadap kereta berjenama Proton Wira. Aku hanya ketawa apabila dia meluahkan kebencian dan ketidakpuasan hatinya terhadap kenderaan itu. Tambah lucu bila dia menambah 'Proton Wira bernombor plat bermula dengan huruf J'. Masakan tidak, luahannya tiada logika kerana pada pendapatnya, pemandu kenderaan tersebut sangat tidak berhemah di jalan raya, atau bahasa kasarnya kurang ajar di jalan raya. Mana mungkin sikap pemandu di jalan raya bergantung pada jenama kenderaan yang dipandu mereka. Atau mungkin rekabentuk kenderaan tersebut menghalang penglihatan pemandunya daripada terlihat kenderaan lain di sekelilingnya. Entah, aku tidak pernah memandu kenderaan tersebut.

Namun setelah beberapa bulan aku memerhati, ada benarnya pesimistik teman aku terhadap kenderaan jenama negara itu. Memang kebanyakan kenderaan yang tidak memasang signal ketika mahu ke kiri atau ke kanan, adalah kenderaan berjenama Proton Wira, atau berada di lorong paling kanan (lorong laju), tapi seperti jalan raya dibina hanya untuk kegunaannya sahaja, pandu dengan hanya kelajuan 60km/jam, kelajuan yang hanya layak di lorong paling kiri, selalunya kenderaan berjenama Proton Wira. Dan seperti kejadian di tol, juga Proton Wira yang terlibat. Aku ini bukanlah pemandu yang sering mencanangkan kemarahan terhadap pemandu lain di jalan raya, malah untuk membunyikan hon pun bukan kebiasaan aku, apatah lagi memberi isyarat lampu tinggi. Aku pemandu yang sangat cool di jalan raya. Tapi aku sangat berang terhadap pemandu yang segan silu memasang signal ketika mahu ke kiri atau ke kanan. Apa sukar sangatkah untuk menuil omboh signal yang hanya di hujung jari? Atau terlalu berjimat menggunakan kuasa bateri kenderaan? Perkara ini memang bunyinya kecil dan remeh, tapi impaknya sangat besar, melibatkan keselamatan di jalan raya. Kemalangan mudah berlaku. Bayangkan kenderaan yang sedang dipandu laju di jalan raya, misalnya 140km/jam, tiba-tiba kenderaan di sebelah kiri atau kanan tidak semena-mena mencelah di hadapan. Saat itu break kecemasan pun sukar untuk menghalang daripada merempuh kenderaan di hadapan. Kemalangan berlaku dan paling memilukan kehilangan nyawa. Bertimbangrasalah ketika memandu di jalan raya walau apa jua kenderaan yang dipandu.

Sunday, November 8, 2009

syukur ku sedar [1]

Ahad, 6 Julai 2008.

"Kami tak boleh beranak normal."

Aku tersedak. ABC yang baru mahu mengalir di kerongkong hampir terhambur keluar, pantas aku telan cepat-cepat.

"Hah?? Serius ke? Kenapa?" Aku bertanya seperti orang tidak cukup ilmu.

"Kami tak boleh kangkang luas-luas sangat. Rahim kami kan dah kacau sikit sebab operate nak masuk besi tu. Lagipun sakit. Masa kami baru-baru boleh berjalan kami tak boleh kangkang langsung. Bertinggung pun tak boleh. Kalau bertinggung je sakit sangat bahagian sini (sambil meraba bahagian pelvis). Guna toilet duduk je la. Bila dah lama baru boleh. Tapi kalau lama-lama bertinggung sakit juga." Dia masih menyambung kata, menggunakan perkataan 'kami' sebagai kata ganti dirinya yang berasal dari utara tanah air.

Aku menelan liur yang berperisa ABC. Sedikit likat di kerongkong, manis.

"Kalau nak beranak nanti kene scissors. Tu pasal la kami kena cari laki kaya. Boleh support kami mase bersalin. Hehe.." Dia menambah panjang lebar sambil bernada gurau.
Aku mendongak memandang matanya. Ada sedikit kesalan disitu, sungguhpun sedaya upaya dia cuba menyembunyi dengan gurauan yang aku fikir sangat ketara logiknya.

"Kalau scissors kena dalam 5 ribu lebih.Ye la, kalau normal pun dah 3 ribu lebih." Dia menokok.

Aku hanya diam, sambil pura-pura berselera menjamah cucuk satay ayam Haji Samuri yang terkenal dengan kuah kacang recyclenya. Satay ayam di dalam mulut yang sudah lumat bercampur amilase amat payah aku telan. Di pangkal kerongkong bagai ada pepasir halus yang menanti masa untuk lalu ke esofogus.

"Oooo..."Hanya perkataan, bukan, huruf itu sahaja yang keluar dari kotak suara aku.

"Sekarang ni kan, kalau kami nak kahwin kene fikir jugak untuk mase selepas kahwin. Maksudnye bile dah pregnant nanti, nak bersalin. Kami kene kumpoi duit bukan setakat untuk kahwin jela. Kami kene ade duit untuk beranak jugak."

Dia masih bercerita, walau gegendang telinga aku sudah mampu menangkap sebak dalam setiap bicaranya.

"Hmm...betul tu..Lagi satu hang kena cari laki yang boleh terima semua tu. Laki nih bukan boleh terima kekurangan sikit pun." Aku bersuara memberi pendapat jengkel. Dalam hati aku cukup diselimuti kesalan kerana menuturkan bicara yang aku fikir sedikit sebanyak menambah warna kelabu dalam contengan masa depannya.

"Hang amek Ahadi la. Die mesti baik." Aku cuba berseloroh.

"Ahadi? Oooo..budak sekolah kami tu..Kami dah tak ingat la. Sekarang ni kami cepat lupa. Kalau kawan-kawan lama kami tu, memang ambik masa la nak recall balik. Tapi hang kami ingat. Takkan lupa. Hehehe.."

Jawapan berunsur gurauan dari bibirnya merungkai segala macam persoalan yang dari tadi asyik berlegar-legar dalam benak aku bila wajahnya seakan terpinga-pinga sejak pertama kali nama Ahadi meluncur dari kotak suara aku. Kerutan di dahi dia ganti dengan senyuman hambar, mungkin menyedari salah satu nikmat yang Tuhan kurniakan selama ini sudah ditarik. Kebolehannya untuk mengingati perkara yang lepas sudah tidak sehebat dulu. Aku mengalih pandangan, mencerun mata ke gerai satay Haji Samuri yang betul-betul berada kira-kira 20 meter di hadapan meja tempat kami menjamah satay. Aku tidak mahu memandang matanya yang dirundung kesal, tidak mampu.

"Kami risau la kalau besi tu nanti tercucuk baby kami mase pregnant nanti. Tapi dalam perut ade cecair amnion tu kan. Boleh protect." Aku hanya mengangguk, setuju dengan bicaranya. Betapa aku sangat bersyukur aku masih sempurna.

***************************

"Tak dapat kami beranak banyak-banyak. Kami nak anak ramai. 6 orang." Dia memulakan bicara di tepi tasik buatan yang beriak-riak ditimpa pancuran air. Dalam fikiran aku mencongak bila pancuran ini dipasang kerana kali terakhir aku ke situ kira-kira sebulan yang lalu pancuran itu masih belum ada.

"Boleh 3 orang je la kan." Aku mencelah tanpa mengalih mata memandang riak-riak air di dalam tasik.

"Sekarang dah boleh 4 orang." Dia menjawab ringkas. Aku memandang wajahnya yang samar-samar yang hanya diterangi lampu sebesar lampu jalan berketinggian lebih kurang 10 kaki.

"Takpe, hang amek la anak angkat 2 orang. Tak pun hang cari duda anak 2."

Tawa berderai memecah kesunyian pinggir tasik yang sedang diselimuti gelap malam.

"Jom duduk kat kerusi tu." Dia mengajak. Aku menuruti, pelvis kanannya yang telah rosak teruk akibat kemalangan kira-kira 8 bulan lepas sudah tidak mampu menampung berat badannya untuk jangka masa yang lama.

"Hang sedih tak kena semua ni?" Aku bertanya sambil memarahi diri sendiri kerana soalan bodoh itu. "Mestila hang sedih kan. Hehe.." Aku menjawab, menutup kebodohan sendiri.

"Masa mula-mula tu hari-hari kami nangis."

Sambil menundukkan wajah, dia memberitahu. Aku sedikit terperanjat dengan pengakuannya. Dalam setiap pesanan ringkas yang dia hantar melalui telefon bimbitnya ketika dia sedang terlantar di katil rumah sakit, tidak sedikitpun aku hidu berbau kesal dan sebak. Malah bila suaranya melalui corong telinga aku, tiada nada marah dan kecewa aku dengar. Bicaranya sentiasa disulami keyakinan dan keberserahan menerima segala yang berlaku dalam ribaan ketabahan.

"Parent hang macam mane? Diorang sedih tak?" Aku masih mengulangi kebodohan sendiri, lalu memarahi akal kerana membenar lidah bersuara tanpa timbang tara.

"Mak kami tak nangis pun. Dia macam takde apa-apa perasaan pun. Relaks je. Mula-mula kami ingat die tak sayang kami. Tapi rupanya die sedih jugak. Ba kami memang nampak la sedih." Dia masih menjawab soalan bodoh yang aku utarakan.

"Macam mana hang tau mak hang sedih." Aku bertanya bagai menyoal pesalah.

"Satu hari tu, kami macam marah-marah. Biasala...emosi tengah tak stabil mase tu. Pastu mak kami nangis. Mak kami memang macam tu. Dia memang susah nak menangis. Dia memang susah tunjukkan perasaan. Kalau dia sayang pun, dia tak tunjuk. Ba kami lain. Kalau sayang tu, memang nampak la..Terbalik pulak kan. Selalunya lelaki yang susah tunjukkan perasaan."

"Oooo.."

Aku kehabisan kata-kata. Dalam satu sudut fikiran aku terbayang kedua ibu bapa aku yang sememangnya tidak pernah langsung mempamerkan kasih sayang berbentuk bicara mahupun tingkah laku. Hanya tanggungjawab yang mereka tunaikan terhadap kami, anak-anak yang menjadi bukti kasih sayang mereka sebenarnya tidak pernah berbelah bagi. Lebih-lebih lagi bapa aku yang sememangnya panas baran, kecuali dengan manusia-manusia yang bukan darah dagingnya. Aku cukup terajar dengan sifat semulajadi itu. Akal aku bertimbang tara, mencongak sifat semula jadi aku yang sememangnya tidak pandai menzahirkan perasaan adalah dibentuk oleh corak asuhan kedua ibu bapa aku.

"Kami tak tau la siapa yang kena paling teruk. Kawan kami tu patah dua-dua belah tapi operation dalam 5 jam ja. Kami walaupun sebelah ja sampai lebih 7 jam. Kawan kami tu doktor lambat kesan tulang pelvis die patah. Doktor cakap tulang kami pecah kecil-kecil, so susah untuk cantumkan balik. Besi tu untuk support tulang tumbuh ikut bentuk die balik. Tulang kan boleh tumbuh balik. Kalau takde besi tu nanti tulang tu tumbuh ikut suka je. Tak tau la macam mane doktor balik-balikkan kami sebab besa tau doktor bedah." Aku mendengar sambil menelan liur. Ngeri.

"Aah. Hang dah la kecik. Hahaha! Ooo maknanya tulang tu still ade la. Abes tu besi tu nanti dibuang ke kekal?" Giliran aku bertanya. Tapi kali ini aku berpuas hati kerana tiada soalan bodoh.

"Tak, tak boleh buang. Sebab dah bersalut isi. Susah nak buang. Lagipun besi tu akan support pertumbuhan tulang. Masa lepas operation tu, kaki kami tergantung ja, 2 minggu dengan pemberat 7kg. Lenguh. Gerak sikit je sakit sangat. Kalau dah tak tahan sangat kami mintak Ba kami turunkan sekejap pemberat tu." Dia menjawab panjang lebar.

"Kalau nak solat macam mane? Kalau period pulak sape yang basuh semua dah hang tak boleh gerak?" Aku masih berminat menyoal.

"Kami tayamum syarat je la, atas selimut. Solat baring. Bila kami dah boleh duduk atas wheelchair kami solat duduk la. Kalau period nurse kat situ la tolong cucikan, tukarkan pad. Lap badan je, tak mandi. Kencing pun pakai tiub."

Aku terlopong mendengar ceritanya. Seluruh inci badan termasuk bahagian sulit diterokai. Memalukan. Namun keadaan memaksa. Dia tiada pilihan lain. Keupayaannya untuk bergerak sendiri amat terbatas.

"Tabahnye hang..." Aku bersuara perlahan.

"Takda la..Haha..." Nadanya rendah.

"Eh betul la..Kalau tak takkan la Tuhan bagi kat hang semua ni. Tuhan takkan bagi something yang kite tak mampu nak tanggung." Aku bersuara, namun hampir tidak ada keyakinan."Hang nih memang tabah la..Boleh keja g, siap beli keta. Kalau kami mesti dah fedap, berenti keja dok umah je. Hehe.."

Suara aku masih rendah, perlahan. Dalam satu sudut fikiran tergambar aku berada di tempat dia, menanggung segala keperitan dan kekesalan, sambil menerima segala ketidaksempurnaan yang Tuhan utuskan melalui kemalangan yang sememangnya tidak pernah aku bayang. Sudah semestinya aku tidak setabah dia.

Azan Isya' memecah kesuraman malam, menyekat perbualan rancak aku dan dia. Langkah aku atur, menuruti langkah dia menuju ke masjid Putrajaya yang tersergam gagah diairi tasik buatan. Memang idea Tun Dr. Mahathir membangunkan masjid gagah itu membanggakan aku, namun rasa gentar mengiringi setiap kali bangga melekat di hati. Dalam hadis sudah nyata antara petanda dekatnya hari kiamat adalah terbinanya masjid-masjid yang berkerawang indah, yang menjadi tarikan pelancong, yang dihias dan dibanggakan, yang manusia bermegah-megah dalam pembinaannya, yang amat sedikit manusia berkunjung untuk tujuan beribadat.

Lengkap bertelekung aku berkira-kira untuk menyertai jemaah yang sedang taat menyembah Tuhan yang Esa. Sempat juga akal bertimbang tara, memilih 1 darjat berbanding 27 darjat atau sebaliknya. Lantas langkah aku atur, mengangkat takbir di sebelah jemaah yang paling akhir di sebelah kanan saf. Ketenangan ibadat menyerap dalam sekalian urat saraf, khusyuk menghalusi detik-detik kemanisan yang menjalar dalam setiap rukuk dan sujud. Sekian lama aku tidak bersama mengimarahkan solat berjemaah, syukur, rasa keasyikan itu masih mahu bertandang setiap kali rumah Allah itu aku ziarah. Tuhan masih sentiasa menyayangi aku. Sejenak aku menjemput keinsafan, menyedari selama ini aku terlalu memburu cinta manusia, lantas mengabai cinta Tuhan yang aku sendiri sudah pasti keagungannya, kesetiaannya, ketulusannya. Rasa berdosa mula berjejer hadir menyelit pada celahan keinsafan yang aku jemput. Sungguh kehinaan menyalut pada selaput tubuh yang aku pakai, berkuping-kuping, meracun setiap inci kesucian yang mahu bertunas. Aku jijik memandang diri sendiri. Betapa alpa aku mengagumi manusia yang tidak pernah ada cinta pada Tuhan. Bila takdir tidak memenuhi kehendak citarasa, kesalahan aku letak pada kenyataan yang aku tidak dapat terima. Dalam kejahilan menyalahkan kenyataan, keangkuhan tetap mahu beraja, menafikan segala yang berlaku bukan berpunca daripada kenaifan sendiri. Bermacam persoalan mula membiak-biak dalam akal waras, memuat padat seluruh saraf fikiran, bertanya kepada Tuhan mengapa takdirkan aku begini dan begitu, walhal aku tidak punya hak walau sebesar kuman pun untuk mempersoal perancangan Tuhan, kerana acara Tuhan itu paling sempurna. Ada manusia lain lebih hebat menanggung derita berbanding aku.

Thursday, October 1, 2009

gempa

Sini sana semua cerita gempa. Kalau dulu gempa hanya di luar Malaysia, paling hampir pun di Pulau Jawa. Tapi sekarang sudah sampai Malaysia, sudah cuit-cuit tanah Malaya, sudah bangkit cemas anak merdeka. Mana tidaknya, Pulau Sumatera pula jadi agenda. Habis gulana dalam jiwa anak merdeka di pantai Melaka. Tidak terduga sebenarnya warga ibukota turut jadi mangsa. Pangsa, menara sama merasa. Baik Putrajaya, baik Jalan Klang Lama.

Gempa bukan apa-apa, akibat tangan manusia juga. Mana tidaknya, pembalakan, pencemaran, perindustrian, alasannya pembangunan. Bumi merajuk, lama-lama mengamuk. Manusia apa peduli. Mata sudah buta, telinga sudah tuli. Lama-lama jadi lali.

Gempa bukan datang suka-suka, Tuhan perintah memang tak akan bantah. Tapi manusia masih tak endah, masih tak melatah. Tsunami tak pernah jadi tazkirah, maklumlah, tak kena pada diri dan daerah. Reda ribut, kalut dan takut pun ikut surut, sampai terlupa kecut perut meraut sengsara di hujung nyawa.