Thursday, June 17, 2010

signal - petunjuk atau petanda?

Tepat 5.30pm, aku sudah berkemas untuk pulang dari tempat kerja. Kurang lebih 20 minit kemudian, aku sudah berada di jejeran kenderaan yang berpusu-pusu untuk melewati tol. Keadaan agak sesak, sementelah waktu pejabat tamat pada jam yang sama kebanyakannya. Kenderaan yang mahu ke kiri, kenderaan yang mahu ke kanan, kenderaan yang mahu memasuki barisan, pemandangan yang normal bila berada dalam kesesakan sebegini. Mujur aku sudah berada dalam barisan 'Tunai & Touch n Go', sungguhpun pintu tol nun jauh di hadapan, aku sabar menanti giliran. Di sebelah kanan, sebuah pacuan 4 roda mahu mencelah di hadapan aku. Lucunya, penumpang di sebelah pemandu beriya-iya menggawang tangan kepada aku, sambil tersengih-sengih, isyarat supaya aku memberi laluan kepadanya. Aku tidak kisah membiarkannya mencelah di hadapan aku, walaupun penumpang berhemah itu tidak memberi isyarat tangan, sementelah signal ke kiri sudah dipasang. Namun setelah pemandu pacuan 4 roda itu telah berada di hadapan aku, penumpangnya masih lagi melambai-lambai tangan, mungkin tanda terima kasih. Aku hanya mengangkat tangan kembali, supaya penumpangnya berhenti daripada melambai-lambai dan tersengih-sengih. Aku tidak kisah, ragam orang memang pelbagai. Dari dalam kenderaan, kedua-dua pemandu dan penumpang kelihatan berkulit gelap, atau mungkin sebab cermin tingkap kenderaan tersebut yang terlalu gelap. Apa yang pasti raut wajah mereka berbangsa India.

Tidak semena-mena, entah dari mana, sebuah kereta wira kelabu muncul tersua-sua dari sebelah kiri aku, menyorong saja muncungnya ke depan, tiap kali aku maju, mahu menyaingi aku. Dan entah dari mana datangnya rasa tidak mahu memberi laluan kepada kenderaan itu, aku sedaya upaya mendekatkan jarak kenderaan aku dengan kenderaan di hadapan, iaitu pacuan 4 roda tadi. Semuanya hanya satu sebab, pemandu proton wira yang tersua-sua itu langsung tidak memasang signal ke kanan sementelah mahu menyelit di hadapan kenderaan aku. Dan apabila sudah sampai ke pintu tol, berlakulah kejadian di mana aku membunyikan hon sebanyak 2 kali kepada pemandu tersebut, dimana hon kali kedua aku bunyikan agak lama. Hon kedua aku bunyikan sebab apabila aku memandang ke arah kereta itu, penumpang kanak-kanak di tempat duduk belakang sedang ketawa ternganga-nganga sambil memandang ke arah kenderaan aku. Memang menyirap darah ke muka, naik ke otak, turun ke hati yang panas. Lucu agaknya apabila pemandu (mungkin ibunya) berjaya mencatas barisan, tanpa perlu memasang signal. Dalam hidup aku setakat ini, perkara yang paling menaikkan kemarahan aku adalah apabila komputer yang aku sedang guna hang, dan apabila aku tersua dengan pemandu yang malu dan segan memasang signal kenderaan mereka ketika mereka mahu ke kanan atau ke kiri, lebih-lebih lagi mahu memotong barisan semasa kesesakan trafik, seperti situasi di tol itu. Sampai giliran aku membayar harga tol, aku buat muka selamba, macam tak ada apa-apa berlaku, jadi jurutol tidak akan mengesyaki apa-apa, moga-moga.

Sambil memandu meneruskan perjalanan, aku teringatkan kata-kata seorang teman aku, yang terlalu pesimis terhadap kereta berjenama Proton Wira. Aku hanya ketawa apabila dia meluahkan kebencian dan ketidakpuasan hatinya terhadap kenderaan itu. Tambah lucu bila dia menambah 'Proton Wira bernombor plat bermula dengan huruf J'. Masakan tidak, luahannya tiada logika kerana pada pendapatnya, pemandu kenderaan tersebut sangat tidak berhemah di jalan raya, atau bahasa kasarnya kurang ajar di jalan raya. Mana mungkin sikap pemandu di jalan raya bergantung pada jenama kenderaan yang dipandu mereka. Atau mungkin rekabentuk kenderaan tersebut menghalang penglihatan pemandunya daripada terlihat kenderaan lain di sekelilingnya. Entah, aku tidak pernah memandu kenderaan tersebut.

Namun setelah beberapa bulan aku memerhati, ada benarnya pesimistik teman aku terhadap kenderaan jenama negara itu. Memang kebanyakan kenderaan yang tidak memasang signal ketika mahu ke kiri atau ke kanan, adalah kenderaan berjenama Proton Wira, atau berada di lorong paling kanan (lorong laju), tapi seperti jalan raya dibina hanya untuk kegunaannya sahaja, pandu dengan hanya kelajuan 60km/jam, kelajuan yang hanya layak di lorong paling kiri, selalunya kenderaan berjenama Proton Wira. Dan seperti kejadian di tol, juga Proton Wira yang terlibat. Aku ini bukanlah pemandu yang sering mencanangkan kemarahan terhadap pemandu lain di jalan raya, malah untuk membunyikan hon pun bukan kebiasaan aku, apatah lagi memberi isyarat lampu tinggi. Aku pemandu yang sangat cool di jalan raya. Tapi aku sangat berang terhadap pemandu yang segan silu memasang signal ketika mahu ke kiri atau ke kanan. Apa sukar sangatkah untuk menuil omboh signal yang hanya di hujung jari? Atau terlalu berjimat menggunakan kuasa bateri kenderaan? Perkara ini memang bunyinya kecil dan remeh, tapi impaknya sangat besar, melibatkan keselamatan di jalan raya. Kemalangan mudah berlaku. Bayangkan kenderaan yang sedang dipandu laju di jalan raya, misalnya 140km/jam, tiba-tiba kenderaan di sebelah kiri atau kanan tidak semena-mena mencelah di hadapan. Saat itu break kecemasan pun sukar untuk menghalang daripada merempuh kenderaan di hadapan. Kemalangan berlaku dan paling memilukan kehilangan nyawa. Bertimbangrasalah ketika memandu di jalan raya walau apa jua kenderaan yang dipandu.

No comments:

Post a Comment