Sunday, November 8, 2009

syukur ku sedar [1]

Ahad, 6 Julai 2008.

"Kami tak boleh beranak normal."

Aku tersedak. ABC yang baru mahu mengalir di kerongkong hampir terhambur keluar, pantas aku telan cepat-cepat.

"Hah?? Serius ke? Kenapa?" Aku bertanya seperti orang tidak cukup ilmu.

"Kami tak boleh kangkang luas-luas sangat. Rahim kami kan dah kacau sikit sebab operate nak masuk besi tu. Lagipun sakit. Masa kami baru-baru boleh berjalan kami tak boleh kangkang langsung. Bertinggung pun tak boleh. Kalau bertinggung je sakit sangat bahagian sini (sambil meraba bahagian pelvis). Guna toilet duduk je la. Bila dah lama baru boleh. Tapi kalau lama-lama bertinggung sakit juga." Dia masih menyambung kata, menggunakan perkataan 'kami' sebagai kata ganti dirinya yang berasal dari utara tanah air.

Aku menelan liur yang berperisa ABC. Sedikit likat di kerongkong, manis.

"Kalau nak beranak nanti kene scissors. Tu pasal la kami kena cari laki kaya. Boleh support kami mase bersalin. Hehe.." Dia menambah panjang lebar sambil bernada gurau.
Aku mendongak memandang matanya. Ada sedikit kesalan disitu, sungguhpun sedaya upaya dia cuba menyembunyi dengan gurauan yang aku fikir sangat ketara logiknya.

"Kalau scissors kena dalam 5 ribu lebih.Ye la, kalau normal pun dah 3 ribu lebih." Dia menokok.

Aku hanya diam, sambil pura-pura berselera menjamah cucuk satay ayam Haji Samuri yang terkenal dengan kuah kacang recyclenya. Satay ayam di dalam mulut yang sudah lumat bercampur amilase amat payah aku telan. Di pangkal kerongkong bagai ada pepasir halus yang menanti masa untuk lalu ke esofogus.

"Oooo..."Hanya perkataan, bukan, huruf itu sahaja yang keluar dari kotak suara aku.

"Sekarang ni kan, kalau kami nak kahwin kene fikir jugak untuk mase selepas kahwin. Maksudnye bile dah pregnant nanti, nak bersalin. Kami kene kumpoi duit bukan setakat untuk kahwin jela. Kami kene ade duit untuk beranak jugak."

Dia masih bercerita, walau gegendang telinga aku sudah mampu menangkap sebak dalam setiap bicaranya.

"Hmm...betul tu..Lagi satu hang kena cari laki yang boleh terima semua tu. Laki nih bukan boleh terima kekurangan sikit pun." Aku bersuara memberi pendapat jengkel. Dalam hati aku cukup diselimuti kesalan kerana menuturkan bicara yang aku fikir sedikit sebanyak menambah warna kelabu dalam contengan masa depannya.

"Hang amek Ahadi la. Die mesti baik." Aku cuba berseloroh.

"Ahadi? Oooo..budak sekolah kami tu..Kami dah tak ingat la. Sekarang ni kami cepat lupa. Kalau kawan-kawan lama kami tu, memang ambik masa la nak recall balik. Tapi hang kami ingat. Takkan lupa. Hehehe.."

Jawapan berunsur gurauan dari bibirnya merungkai segala macam persoalan yang dari tadi asyik berlegar-legar dalam benak aku bila wajahnya seakan terpinga-pinga sejak pertama kali nama Ahadi meluncur dari kotak suara aku. Kerutan di dahi dia ganti dengan senyuman hambar, mungkin menyedari salah satu nikmat yang Tuhan kurniakan selama ini sudah ditarik. Kebolehannya untuk mengingati perkara yang lepas sudah tidak sehebat dulu. Aku mengalih pandangan, mencerun mata ke gerai satay Haji Samuri yang betul-betul berada kira-kira 20 meter di hadapan meja tempat kami menjamah satay. Aku tidak mahu memandang matanya yang dirundung kesal, tidak mampu.

"Kami risau la kalau besi tu nanti tercucuk baby kami mase pregnant nanti. Tapi dalam perut ade cecair amnion tu kan. Boleh protect." Aku hanya mengangguk, setuju dengan bicaranya. Betapa aku sangat bersyukur aku masih sempurna.

***************************

"Tak dapat kami beranak banyak-banyak. Kami nak anak ramai. 6 orang." Dia memulakan bicara di tepi tasik buatan yang beriak-riak ditimpa pancuran air. Dalam fikiran aku mencongak bila pancuran ini dipasang kerana kali terakhir aku ke situ kira-kira sebulan yang lalu pancuran itu masih belum ada.

"Boleh 3 orang je la kan." Aku mencelah tanpa mengalih mata memandang riak-riak air di dalam tasik.

"Sekarang dah boleh 4 orang." Dia menjawab ringkas. Aku memandang wajahnya yang samar-samar yang hanya diterangi lampu sebesar lampu jalan berketinggian lebih kurang 10 kaki.

"Takpe, hang amek la anak angkat 2 orang. Tak pun hang cari duda anak 2."

Tawa berderai memecah kesunyian pinggir tasik yang sedang diselimuti gelap malam.

"Jom duduk kat kerusi tu." Dia mengajak. Aku menuruti, pelvis kanannya yang telah rosak teruk akibat kemalangan kira-kira 8 bulan lepas sudah tidak mampu menampung berat badannya untuk jangka masa yang lama.

"Hang sedih tak kena semua ni?" Aku bertanya sambil memarahi diri sendiri kerana soalan bodoh itu. "Mestila hang sedih kan. Hehe.." Aku menjawab, menutup kebodohan sendiri.

"Masa mula-mula tu hari-hari kami nangis."

Sambil menundukkan wajah, dia memberitahu. Aku sedikit terperanjat dengan pengakuannya. Dalam setiap pesanan ringkas yang dia hantar melalui telefon bimbitnya ketika dia sedang terlantar di katil rumah sakit, tidak sedikitpun aku hidu berbau kesal dan sebak. Malah bila suaranya melalui corong telinga aku, tiada nada marah dan kecewa aku dengar. Bicaranya sentiasa disulami keyakinan dan keberserahan menerima segala yang berlaku dalam ribaan ketabahan.

"Parent hang macam mane? Diorang sedih tak?" Aku masih mengulangi kebodohan sendiri, lalu memarahi akal kerana membenar lidah bersuara tanpa timbang tara.

"Mak kami tak nangis pun. Dia macam takde apa-apa perasaan pun. Relaks je. Mula-mula kami ingat die tak sayang kami. Tapi rupanya die sedih jugak. Ba kami memang nampak la sedih." Dia masih menjawab soalan bodoh yang aku utarakan.

"Macam mana hang tau mak hang sedih." Aku bertanya bagai menyoal pesalah.

"Satu hari tu, kami macam marah-marah. Biasala...emosi tengah tak stabil mase tu. Pastu mak kami nangis. Mak kami memang macam tu. Dia memang susah nak menangis. Dia memang susah tunjukkan perasaan. Kalau dia sayang pun, dia tak tunjuk. Ba kami lain. Kalau sayang tu, memang nampak la..Terbalik pulak kan. Selalunya lelaki yang susah tunjukkan perasaan."

"Oooo.."

Aku kehabisan kata-kata. Dalam satu sudut fikiran aku terbayang kedua ibu bapa aku yang sememangnya tidak pernah langsung mempamerkan kasih sayang berbentuk bicara mahupun tingkah laku. Hanya tanggungjawab yang mereka tunaikan terhadap kami, anak-anak yang menjadi bukti kasih sayang mereka sebenarnya tidak pernah berbelah bagi. Lebih-lebih lagi bapa aku yang sememangnya panas baran, kecuali dengan manusia-manusia yang bukan darah dagingnya. Aku cukup terajar dengan sifat semulajadi itu. Akal aku bertimbang tara, mencongak sifat semula jadi aku yang sememangnya tidak pandai menzahirkan perasaan adalah dibentuk oleh corak asuhan kedua ibu bapa aku.

"Kami tak tau la siapa yang kena paling teruk. Kawan kami tu patah dua-dua belah tapi operation dalam 5 jam ja. Kami walaupun sebelah ja sampai lebih 7 jam. Kawan kami tu doktor lambat kesan tulang pelvis die patah. Doktor cakap tulang kami pecah kecil-kecil, so susah untuk cantumkan balik. Besi tu untuk support tulang tumbuh ikut bentuk die balik. Tulang kan boleh tumbuh balik. Kalau takde besi tu nanti tulang tu tumbuh ikut suka je. Tak tau la macam mane doktor balik-balikkan kami sebab besa tau doktor bedah." Aku mendengar sambil menelan liur. Ngeri.

"Aah. Hang dah la kecik. Hahaha! Ooo maknanya tulang tu still ade la. Abes tu besi tu nanti dibuang ke kekal?" Giliran aku bertanya. Tapi kali ini aku berpuas hati kerana tiada soalan bodoh.

"Tak, tak boleh buang. Sebab dah bersalut isi. Susah nak buang. Lagipun besi tu akan support pertumbuhan tulang. Masa lepas operation tu, kaki kami tergantung ja, 2 minggu dengan pemberat 7kg. Lenguh. Gerak sikit je sakit sangat. Kalau dah tak tahan sangat kami mintak Ba kami turunkan sekejap pemberat tu." Dia menjawab panjang lebar.

"Kalau nak solat macam mane? Kalau period pulak sape yang basuh semua dah hang tak boleh gerak?" Aku masih berminat menyoal.

"Kami tayamum syarat je la, atas selimut. Solat baring. Bila kami dah boleh duduk atas wheelchair kami solat duduk la. Kalau period nurse kat situ la tolong cucikan, tukarkan pad. Lap badan je, tak mandi. Kencing pun pakai tiub."

Aku terlopong mendengar ceritanya. Seluruh inci badan termasuk bahagian sulit diterokai. Memalukan. Namun keadaan memaksa. Dia tiada pilihan lain. Keupayaannya untuk bergerak sendiri amat terbatas.

"Tabahnye hang..." Aku bersuara perlahan.

"Takda la..Haha..." Nadanya rendah.

"Eh betul la..Kalau tak takkan la Tuhan bagi kat hang semua ni. Tuhan takkan bagi something yang kite tak mampu nak tanggung." Aku bersuara, namun hampir tidak ada keyakinan."Hang nih memang tabah la..Boleh keja g, siap beli keta. Kalau kami mesti dah fedap, berenti keja dok umah je. Hehe.."

Suara aku masih rendah, perlahan. Dalam satu sudut fikiran tergambar aku berada di tempat dia, menanggung segala keperitan dan kekesalan, sambil menerima segala ketidaksempurnaan yang Tuhan utuskan melalui kemalangan yang sememangnya tidak pernah aku bayang. Sudah semestinya aku tidak setabah dia.

Azan Isya' memecah kesuraman malam, menyekat perbualan rancak aku dan dia. Langkah aku atur, menuruti langkah dia menuju ke masjid Putrajaya yang tersergam gagah diairi tasik buatan. Memang idea Tun Dr. Mahathir membangunkan masjid gagah itu membanggakan aku, namun rasa gentar mengiringi setiap kali bangga melekat di hati. Dalam hadis sudah nyata antara petanda dekatnya hari kiamat adalah terbinanya masjid-masjid yang berkerawang indah, yang menjadi tarikan pelancong, yang dihias dan dibanggakan, yang manusia bermegah-megah dalam pembinaannya, yang amat sedikit manusia berkunjung untuk tujuan beribadat.

Lengkap bertelekung aku berkira-kira untuk menyertai jemaah yang sedang taat menyembah Tuhan yang Esa. Sempat juga akal bertimbang tara, memilih 1 darjat berbanding 27 darjat atau sebaliknya. Lantas langkah aku atur, mengangkat takbir di sebelah jemaah yang paling akhir di sebelah kanan saf. Ketenangan ibadat menyerap dalam sekalian urat saraf, khusyuk menghalusi detik-detik kemanisan yang menjalar dalam setiap rukuk dan sujud. Sekian lama aku tidak bersama mengimarahkan solat berjemaah, syukur, rasa keasyikan itu masih mahu bertandang setiap kali rumah Allah itu aku ziarah. Tuhan masih sentiasa menyayangi aku. Sejenak aku menjemput keinsafan, menyedari selama ini aku terlalu memburu cinta manusia, lantas mengabai cinta Tuhan yang aku sendiri sudah pasti keagungannya, kesetiaannya, ketulusannya. Rasa berdosa mula berjejer hadir menyelit pada celahan keinsafan yang aku jemput. Sungguh kehinaan menyalut pada selaput tubuh yang aku pakai, berkuping-kuping, meracun setiap inci kesucian yang mahu bertunas. Aku jijik memandang diri sendiri. Betapa alpa aku mengagumi manusia yang tidak pernah ada cinta pada Tuhan. Bila takdir tidak memenuhi kehendak citarasa, kesalahan aku letak pada kenyataan yang aku tidak dapat terima. Dalam kejahilan menyalahkan kenyataan, keangkuhan tetap mahu beraja, menafikan segala yang berlaku bukan berpunca daripada kenaifan sendiri. Bermacam persoalan mula membiak-biak dalam akal waras, memuat padat seluruh saraf fikiran, bertanya kepada Tuhan mengapa takdirkan aku begini dan begitu, walhal aku tidak punya hak walau sebesar kuman pun untuk mempersoal perancangan Tuhan, kerana acara Tuhan itu paling sempurna. Ada manusia lain lebih hebat menanggung derita berbanding aku.

Thursday, October 1, 2009

gempa

Sini sana semua cerita gempa. Kalau dulu gempa hanya di luar Malaysia, paling hampir pun di Pulau Jawa. Tapi sekarang sudah sampai Malaysia, sudah cuit-cuit tanah Malaya, sudah bangkit cemas anak merdeka. Mana tidaknya, Pulau Sumatera pula jadi agenda. Habis gulana dalam jiwa anak merdeka di pantai Melaka. Tidak terduga sebenarnya warga ibukota turut jadi mangsa. Pangsa, menara sama merasa. Baik Putrajaya, baik Jalan Klang Lama.

Gempa bukan apa-apa, akibat tangan manusia juga. Mana tidaknya, pembalakan, pencemaran, perindustrian, alasannya pembangunan. Bumi merajuk, lama-lama mengamuk. Manusia apa peduli. Mata sudah buta, telinga sudah tuli. Lama-lama jadi lali.

Gempa bukan datang suka-suka, Tuhan perintah memang tak akan bantah. Tapi manusia masih tak endah, masih tak melatah. Tsunami tak pernah jadi tazkirah, maklumlah, tak kena pada diri dan daerah. Reda ribut, kalut dan takut pun ikut surut, sampai terlupa kecut perut meraut sengsara di hujung nyawa.

Monday, September 28, 2009

Syawal datang lagi

9 Syawal sudah, (maaf, aku perlu ke halaman http://www.utusan.com.my/ untuk mengetahuinya). Macam baru semalam berniat sebulan puasa, seperti baru kelmarin berbuka dengan juadah Bazaar Ramadhan. Begitu pantas hari bersilih sampai tak terasa helanya. Alhamdulillah, keberkatan Ramadhan sudah didakapi, kini, nikmat Syawal masih sama-sama dirasai, walau 1 Syawal yang dinanti telahpun pergi.

Ohh, 1 Syawal tahun ini adalah yang paling suram buat aku. Sudahlah tidak ada acara masak-memasak lemang dan rendang, kuih muih juga 95% beli di kedai. Apalah enaknya 1 Syawal andai suasana itu tidak menjadi tirai pembuka 1 Syawal. Emak dan Bapak pula sudah tidak begitu lincah membuat itu dan ini, ditambah pula hanya kakak bongsu aku yang ada pada sehari sebelum 1 Syawal, masih belum cukup jadi tangan dan kaki Emak. Aku pula hanya mampu berada di rumah pada tengah hari sehari sebelum 1 Syawal, terus membantu mana yang belum selesai, walau penat di jalan raya masih belum berderai. Begitu kesan apabila giliran adik-beradik aku yang telah berumah tangga menyambut 1 Syawal di rumah mertua masing-masing. Tinggal yang masih bujang menemani Emak dan Bapak merai 1 Syawal. Kerap aku bergulana, andai semua anak-anak Emak sudah tidak bujang menyambut 1 Syawal di rumah mertua, apakah Emak merai 1 Syawal hanya berdua dengan Bapak, tanpa acara masak-memasak lemang dan rendang, tanpa kuih muih, tanpa hiruk-tangis-gelak-tawa sekalian pewaris keturunannya?

Kalau diikut hati dan kehendak jiwa, mahu aku jadikan setiap 1 Syawal adalah 1 Syawal pada 10 tahun lampau, yang mana pasti ada acara masak-memasak lemang dan rendang, kuih muih 95% buatan tangan Emak, hiruk-tangis-gelak-tawa sekalian pewaris keturunan Emak pasti akan kedengaran, dan aku pasti berada di sisi Emak 10 hari sebelum 1 Syawal. Namun apalah daya aku untuk menyekat lontaran ruang dan masa, apalah kudrat aku untuk menahan kehendak lumrah alam, semuanya ada Pengaturnya. Lantas kehendak jiwa aku ini hanya mampu bergema dalam dada, bagai salakan anjing memantul bukit, disitu saja pergi-baliknya.

Maaf Emak, ampun Bapak, aku ini bukan zuriat yang baik, banyak yang menyakitkan hati kalian, tak terbilang yang melukakan perasaan. Sungguh sedalam tinggi seluas jauh kasih sudah aku ukir istimewa buat kalian.


Monday, August 24, 2009

syahdu Ramadhan

Hari ke-tiga berpuasa dalam tahun 2009, bersamaan dengan 3 Ramadhan 1430H, bermakna sudah 2 hari aku, bersama umat Islam mengerjakan ibadah yang menjadi pelengkap 5 rukun Islam, insya-Allah, akan menjadi 3 hari setelah sempurnanya hari ini.

Hari pertama dan ke-dua puasa, aku ke rumah salah seorang kakak aku di utara Selangor, hanya 15 minit dari tempat aku menetap, kalau Encik Bumblebee pecut ala-ala Formula Satu dan tiada halangan kesibukan trafik atau gangguan emosi Encik Bumblebee yang boleh menyebabkan beliau hilang arah lalu terbabas ke jalan yang tidak sepatutnya beliau lalui. Ohh..

Kehadiran aku ke rumahnya atas dasar mahu menyambut kedatangan Ramadhan bersama, memandangkan aku tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman. Atas dasar itu aku membuat pertimbangan apalah salahnya aku menjenguk ke rumahnya, tambahan pula sudah lama tidak ke sana. Memang tidak ada jemputan pun daripadanya, cuma aku suka-suka merencana mahu memulakan ibadah puasa di sana, di rumahnya, bersama darah daging aku sendiri.

Dua hari penuh di sana (aku pulang pada pagi Isnin, terus ke tempat kerja), rupa-rupanya bukanlah seperti apa yang aku bayangkan. Mungkin kakak aku yang sedang mengandung anak kedua tidak ada mood dan penat menjalani ibadah puasa dalam keadaan demikian. Atau mungkin di fikirannya asyik membentang masalah di tempat kerja. Atau mungkin dia sendiri memang tidak berkenan dengan kehadiran aku, memandangkan tidak ada jemputan pun daripadanya, cuma aku suka-suka merencana mahu memulakan ibadah puasa di sana, di rumahnya, bersama darah daging aku sendiri. Aku tidak ambil hati, aku faham keadaannya yang begitu, ditambah pula dengan karenah anak sulungnya yang kadang-kadang merengek menangis, kadang-kadang kurang sihat. Namun apa yang aku kesalkan cuma satu perkara, yang mana perkara itu mungkin hanya aku yang sibuk memperbesarkan. Perkara yang mana kalau kakak aku, tidak kiralah kakak yang ini ataupun kakak yang di selatan Selangor, mahukan bantuan aku, memerlukan aku untuk menguruskan anak-anak mereka, sepanjang ketiadaan mereka atas alasan pekerjaan, atau lain-lain alasan, manis saja bicara mereka, tulus saja layanan mereka. Apa aku ini bukan darah daging mereka kah? Atau hanya aku yang beremosi menjangkau rasional akal untuk memikirkan tentang hubungan adik-beradik yang sepatutnya tidak perlu berkira? Entah, aku tak punya jawapan. Aku tidak pernah merasai hidup berkeluarga, punya anak-anak dan suami sendiri, tidak tahu apa ribut-kalut-keluh-resah dalam hati dan fikiran seorang yang bergelar isteri dan ibu. Mungkinlah ribut-kalut-keluh-resah kakak aku ini menyebabkan dia berkelakuan demikian. Aku tidak ambil hati, aku sedar aku tidak ada jemputan pun daripadanya, cuma aku suka-suka merencana mahu memulakan ibadah puasa di sana, di rumahnya, bersama darah daging aku sendiri.

Pada pagi Isnin yang redup-redup sejuk aku terus mengheret Encik Bumblebee ke tempat kerja, tanpa sepatah kata atau bertemu muka dengan kakak aku, mahupun suaminya, memandangkan mereka sedang di bilik tidur, mungkin tidur, mungkin buat-buat tidur, sungguh aku tidak mahu tahu.

Tuesday, August 11, 2009

jiwa-jiwa [3]

Aku mahu sendiri. Jahanam! Keseorangan rupa-rupanya tidaklah indah.
Mahu aku melangkah pergi dari situ, jauh. Celaka! Pelarian bukan membuka jalan.
Lalu aku redah kegelapan sukma, pasrah pada apa saja yang aku terjah. Baru mengerti, hidup amat sukar bila pertimbangan akal tersasar. Malu sebenarnya, mengaku diri hanya separuh berdiri, langkah yang gontai diseret kaki yang tempang. Luruh jiwa yang tenang, entah siapa yang goncang.

Alam yang berputar, setia mengganti silih siang dan malam, menukar matahari dan bulan, merencana panas dan hujan. Lantas aku?

Duduk diam saja, takdir akan hadir seiring hembusan nyawa.
Lalu apa fungsinya akal, apa unggulnya jiwa?

Bangunlah, bertatih mengutip serpihan impian yang berkecai dirasuk kecewa. Bumi yang nyaman ini masih banyak misteri.
Namun kudrat ini hanya sepicing cuma, semangat sudah diam merajuk. Mana panas bahang juang yang pantang berkalah? Apa sudah beku disimbah rintik kecewa?

Yang Kuasa...bantu aku...!

Monday, July 20, 2009

A . K . U

Aku :

Bengang
Bosan
Muak
Geram
Penat
Letih
Marah
Buntu
Rajuk
Lelah
Sesak
Sebal
Cemuh
Gusar
Hampa
Jelik
Lemau
Mabuk
Nanar
Perit
Resah
Sasau

Monday, July 13, 2009

jiwa-jiwa [2]

kau inderaloka

Beribu batu, berjuta waktu
Berkelana, menitip wajah kamu,
Meredah langit kelabu, terapung di atmosfera keliru,
Langsung sesat dalam bayangan samudera,
Rintih menyahut dalam ribut,
Sampai kabut menyalut sukma.
Rindu? Ya, benar-benar rindu, indah!
Suka? Sungguh! Selamanya begitu.
Cinta? Entah. Belum bertamu pada asmara, rentak gelisah hanya mencipta gelora.

Nun di sudut sana, ada kelibat tersua,
Milik kamu,
Tuntas mengheret ingatan ke singgahsana rasa.
Mersik mengalun rindu dan suka, menggoncang suasana.
Bagai mekar harum kesuma syurga,
Bagai purnama melimpah cahaya,
Tinta kencana indah terpatri,
Hajat di hati, moga diberkati.
Bernafaslah di sisiku, sampai mati.

Sayu, meruntun pilu, menjejak rindu menderu,
Kalam suci bertaut pada kalimah kasih,
Rendang meredup terik cemburu.
Badai kan reda, Ribut kan sentosa,
Resah menghilang tiba-tiba.
Rindu itu asyik, suka ini menggila,
Bantu aku, meneguk embun asmara.

Mari aku cantum anganmu,
Mari aku risik kasihmu,
Rela aku memujuk sendumu,
Rela aku mengirai rindumu,
Cinta, sama-sama kita seru,
Kamu...inderaloka ku!

Tuesday, July 7, 2009

kerana dia

Kerana dia, aku bersarapan pagi dengan nesvita 3-in-1 dan makan tengah hari dengan high-5 50sen, tapi aku masih bersyukur, aku masih boleh mengisi perut yang keroncong.
Kerana dia, beberapa keperluan asas peribadi aku terpaksa aku abaikan, namun aku masih berterima kasih atas kurniaan kesihatan yang cemerlang.
Kerana dia, suka ria aku bersama teman-teman jadi beku, tidak semeriah dulu. Walaubagaimanapun, aku masih punya teman-teman yang memahami, aku tuntas menghargai. Sungguh!
Kerana dia, hari-hari aku dihantui kerunsingan memahami sifat dan sikap dia, namun aku masih sabar melayani kehendak dia, menurut kemahuan dia.

Segala pengorbanan telah aku peduli, ini balasan yang dia beri? Ohh bumblebee..

Inilah hasil keyakinan yang benar-benar mantap semasa melakukan pengunduran ala-ala tiga penjuru. Hah!!

Monday, July 6, 2009

apa salah saya?

"I tak pernah tahu pun keputusan yang ambil ni betul atau salah. Sampai sekarang I tak tahu. Dan I tak pernah pun cuba untuk tahu. Apa yang penting I mesti bertanggungjawab dengan keputusan yang I ambil."
Baru-baru ini aku dapat ramai kawan baru. Mereka sebenarnya rakan-rakan kongsi kepada seorang teman lama aku semasa aku di sekolah menengah. Teman lama aku ini boleh dikatakan seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya. Bermacam-macam aktiviti telah aku sertai bersama mereka. Bukan apa, aku merasakan bahawa dalam usia yang telah menginjak suku abad ini aku perlu ada aktiviti sosial yang mana aku bergaul dengan orang ramai, dan dalam masa yang sama dapat memulihkan lagi hubungan sosial aku dengan orang lain yang selama ini aku rasa amatlah tenat. Selain itu aku dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan baru, dan dapat bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang sesuatu perkara. Mereka juga mudah serasi dengan aku, walaupun hanya baru mengenali mereka dalam masa yang amat singkat. Namun begitu, keserasian ini bukanlah tajuk utama yang aku mahu kongsikan.

Aku secara dasarnya, tahu, amat faham akan dunia perniagaan, dunia ahli perniagaan, walaupun aku bukanlah salah seorang ahli perniagaan. Seorang ahli perniagaan perlu ada keterampilan yang hebat, atau setidak-tidaknya perwatakan yang disenangi, untuk mempromosikan apa yang diniagakan seterusnya dapat menarik minat pelanggan. Jadi cara berkomunikasi juga termasuk dalam keterampilan atau perwatakan supaya objektif perniagaan terlaksana. Begitu juga dengan rakan-rakan kongsi kepada teman lama aku ini, yang merangkap kawan-kawan baru aku. Mereka ada cara tersendiri untuk berkomunikasi sesama sendiri dan sesama pelanggan masing-masing. Apa yang menjelekkan aku, cara mereka membahasakan diri mereka sendiri semacam menjengkelkan di telinga aku. Mungkin apa yang aku katakan ini amat keterlaluan, namun itulah yang jiwa aku definisi apabila mendengar mereka berkomunikasi. Membahasakan diri sendiri dengan perkataan 'I' dan disambung dengan perkataan dalam Bahasa Melayu, atau memulakan perkataan dengan Bahasa Melayu dan disambung dengan perkataan 'I' untuk ganti diri, bagi aku ada kejanggalan pada bunyi ayat yang ditutur, terserlah amat. Macam makan tempoyak dengan nasi beriyani, walaupun masih boleh ditelan namun bila sampai di kerongkong rasa loya masih ada. Begitulah yang aku rasa apabila mendengar mereka berbicara, atau semasa berbicara dengan mereka, masih boleh aku dengar dan respon, namun dalam masa yang sama terpaksa menahan gegendang telinga bila perkataan 'I' memenuhi ruang bicara. Aku? Aku tetap membahasakan diri dengan perkataan 'Aku' kerana bagi aku, apabila aku membahasakan diri aku sebagai 'Aku' dan bukan 'Saya' apatah lagi 'I', bermakna aku sudah selesa dengan kelompok manusia yang aku hadapkan semasa percakapan, yang mana bermaksud aku sudah boleh menjadi diri aku sendiri di hadapan mereka.

'Aku' mungkin tidak begitu sopan untuk dibicarakan semasa berurusan dengan pelanggan, namun salahkah kalau membahasakan diri sendiri dengan perkataan 'Saya'? Adakah mereka merasakan bahawa taraf diri mereka jatuh terinjak kalau menggunakan perkataan 'Saya'? Setinggi dalam kah taraf diri dilambung kalau menggunakan perkataan 'I'? Aku tidak hairan dan tidak hirau andai mereka terdiri daripada berbilang bangsa, kerana aku amat faham akan kedudukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara bagi sesetengah kaum. Namun malangnya mereka semuanya terdiri daripada kaum Melayu, bukan campuran bukan kacukan. Apa hina sangatkah kalau menggunakan bahasa sendiri? Aku mengerti kalau mereka konon-kononnya mahu memperbaiki tahap penggunaan Bahasa Inggeris dikalangan mereka memandangkan mereka merupakan ahli perniagaan yang harus tahu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai nilai tambahan terhadap gelaran ahli perniagaan yang unggul. Namun kalau setakat membahasakan diri sendiri sahaja digunakan dalam Bahasa Inggeris, pada pendapat aku hanya akan merosakkan bunyi ayat, yang mana boleh mendatangkan kejengkelan kepada orang yang mendengar, paling malang bila orang yang mendengar itu adalah aku. Kalau pun mereka bertujuan untuk memperlihatkan formal dalam setiap bicara, ada cara yang lebih berkesan selain mengunakan ganti diri 'I'. Sesama rakan kongsi pun perlu formal kah?

Bukanlah bermaksud aku anti-Bahasa-Inggeris dan amat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa-Jiwa-Bangsa. Aku suka dengan Bahasa Inggeris, dan aku lebih suka berbahasa Inggeris untuk menyatakan sesuatu yang aku rasa amat pelik bila dituturkan dengan Bahasa Melayu. Contoh paling mudah aku lebih selesa menggunakan 'I love you' berbanding 'Aku cinta padamu', apatah lagi 'I cintakan you' atau 'I sukakan you'. Maksud aku di sini, aku lebih rela berbicara atau mendengar bicara yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya, yang mana aku dapat memperbaiki tahap penggunaan Bahasa Inggeris aku, biarlah kalau ada orang menganggap aku cakap besar atau cakap-cakap kosong sahaja, setidak-tidaknya aku masih memelihara bunyi ayat. Berbalik kepada rakan-rakan kongsi teman lama aku yang merangkap kawan-kawan baru aku ini, apalah salahnya kalau mereka terus menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya, setidak-tidaknya dalam satu ayat, atau terus membahasakan diri dengan perkataan 'Saya'. Bagi aku tidak ada celanya, malah lebih manis. Secara tidak langsung boleh mewujudkan ruang selesa dan seterusnya dapat lebih dekat dengan pelanggan.

Aku cuma tulis apa yang aku rasa, bukanlah bermaksud mempersenda cara mereka berkomunikasi, malah tidak terniat pun untuk memandang serong. Mereka secara peribadinya, amat ramah, mungkin itu ciri-ciri ahli perniagaan. Cara mereka tidaklah sombong atau hidung tinggi walaupun mereka memiliki pendapatan yang bukan calang-calang. Cuma bicara mereka amat menarik minda aku untuk memarut pendapat dan buah fikiran kerana dunia mereka amat berbeza dengan dunia aku. Aku lebih banyak berbicara dengan mesin, sementara mereka sudah pastinya sentiasa berkomunikasi sesama manusia. Jadi bahasa yang mereka pakai tentu berbeza dengan yang aku guna. Cara mereka memandang sesuatu juga turut berbeza, atau setidak-tidaknya mereka memandang sesuatu dari sudut yang berbeza dengan aku. Yang ini lah yang menjadi daya tarikan untuk aku lebih mengenali mereka.

Wednesday, July 1, 2009

jiwa-jiwa [1]

aku, kamu - mengapa ada dia?

Semalam
Kita masih di situ, meneka perasaan
Kita masih di situ, memandang keliru
berpura menyembunyi cinta,
Benarkah cinta ada di situ?

Semalam
Kamu masih gelisah mengalih pandangan mata
bila sinar mataku memanah tepat,
Lalu wajah kamu paling
mahu merawat debaran dalam dada.
Mungkinkah debaran itu seiring getar jiwaku?

Semalam
Aku seorang sendiri
menangis memujuk lara,
mengubat luka kecewa,
memandang ke dalam diri, menemu alpa.
Sirna semangat aku, hilang bersama angin rindu
Sendu mengiringi.
Ego akukah yang meracuni?

Hari ini ...
Kita tidak punya rasa untuk dikongsi.
Kamu bawa debaran itu bersama dia.
Aku hanya di sini menghitung memori.
Semua sudah bernokhtah menuju mati.

Tuesday, June 30, 2009

berat jodoh?


Apakah kaitan perhentian bas dengan pasangan pengantin?
(maaf kawan, aku eksploitasi gambar kamu dan suami)


"Ada orang cakapla, wanita yang muda, dan juga berjaya ni selalunya berat jodoh. Betul ke?"

Petikan di atas adalah dialog dalam sitkom 'Fara'. Kalau dikaitkan dengan situasi sekarang, ada benarnya dialog tersebut. Namun begitu skala kejayaan wanita dengan wanita yang lain semestinya berbeza. Ada wanita merasakan kejayaan sudah dimiliki apabila mempunyai segulung ijazah. Ada wanita yang tidak merasa puas dengan hanya memiliki ijazah, lalu berusaha merebut jawatan tertinggi di syarikat-syarikat terkemuka. Ada juga wanita yang berjawatan tinggi tapi perlu mengumpul aset peribadi demi membuktikan kejayaan hidup. Ini cuma observasi cetek aku, berpandukan pandangan daripada rakan-rakan wanita aku. Apa jua tafsiran, kejayaan bergantung kepada usaha masing-masing, demi merangkul apa yang diimpi.

Ramai rakan-rakan yang seusia aku sudah dan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. Ada juga yang sudah memiliki beberapa cahaya mata. Lambat atau cepat jodoh seseorang sudah tertulis pada takdir masing-masing. Apa yang telah ditentukan adalah yang terbaik. Tidak semestinya wanita yang sudah berusia tapi masih belum mendirikan rumah tangga itu tidak ada jodoh, dan tidak semestinya wanita yang sudah berumah tangga itu sudah bertemu jodoh sehidup semati. Kalau begitu tidak wujudlah gelaran janda pada wanita. Apa yang pasti setiap makhluk di alam ini sudah Tuhan jadikan berpasang-pasangan, baik manusia mahupun tumbuhan. Ini juga observasi dangkal aku, yang menganalisis pengalaman hidup sambil berhipotesis di akal fikiran. Walaubagaimanapun, sungguh beruntung wanita yang menggunakan masa bujangnya untuk membina kerjaya seterusnya meraih apa yang diimpi, dan bila sudah bertemu jodoh, tumpuan seratus peratus dapat diperuntukkan demi membina keluarga yang unggul.

Sebetulnya, ada segelintir rakan-rakan wanita aku yang mengeluh kerana masih belum bertemu jodoh. Dan sejujur-jujurnya, aku juga pernah merasai demikian. Masakan tidak, melihat rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga macam melihat aku sudah ditinggal jauh kebelakang. Namun bila aku membandingkan diri aku dengan rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga, timbul rasa takut dan ragu-ragu terhadap kebolehan dan keyakinan aku untuk mempunyai dan menguruskan kehidupan berumah tangga. Pendek kata aku masih belum cukup bersedia untuk menghadapi semua cabaran itu. Aku punya pelbagai perkara yang mahu aku nikmati, yang aku fikir kalau aku berkeluarga segala perkara itu tidak dapat atau sukar untuk aku lakukan. Tanggungjawab menguruskan rumah tangga amat besar, dan semestinya memerlukan ketabahan yang bukan sedikit. Mungkin ada yang berpendapat observasi aku ini hanya berdasarkan situasi aku yang belum sampai jodoh, maksudnya aku hanya memberi alasan untuk menggapai itu dan ini, menjadi begitu dan begini kerana jodoh aku masih belum sampai. Apa jua pendapat, observasi ini adalah lahir daripada keadaan aku sekarang, dalam persekitaran yang aku jejaki hari ini, bukan semalam, bukan akan datang.

Bagi aku menanti jodoh datang macam menunggu bas di perhentian. Aku bagi perumpamaan menunggu bas sebab setiap hari aku menunggu bas untuk ke tempat kerja. Aku tergolong dalam golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri. Jadi bas menjadi pengangkutan awam utama untuk aku, disamping tambang yang berpatutan yang mampu aku biaya berbanding teksi. Berbalik kepada perumpamaan yang aku nyatakan tadi. Situasinya begini, bas yang ditunggu masih tidak muncul, biar sampai berkematu kaki berdiri atau kebas punggung berduduk. Kalau tidak ditunggu bersilih ganti melepasi pandangan mata. Masa itu rasa macam mahu tikam perut bas bertalu-talu. Kalau sudah menahan teksi dan separuh badan sudah memasuki perut teksi, ketika itulah bas muncul. Masa itu bukan setakat mahu tikam perut bas, perut pemandu bas dan perut pemandu teksi pun boleh jadi sasaran. Begitu juga dengan jodoh. Kalau ditunggu memang tidak akan sampai. Kalau tidak dinanti banyak pula datang. Keadaan ini sebenarnya turut dipengaruhi oleh rasa tidak sabar. Apabila mahukan sesuatu dan perlu menunggu untuk mendapatkannya, pastilah akan ternanti-nanti. Lebih-lebih lagi soal jodoh yang benar-benar di luar keupayaan dan pengetahuan manusia. Apa yang penting usaha harus mengiringi disamping doa yang tidak jemu-jemu, supaya jodoh yang datang adalah yang terbaik, yang melengkapi hidup.

**Aku suka lelaki kidal.** *blush*

Monday, June 29, 2009

rama-rama

Ini baru dibeli semalam, di kedai cenderahati Zoo Negara. Kali pertama dalam hidup melawat zoo. Rama-rama dalam frame ini diawet, kepak rama-rama yang cantik dan unik menambat hati untuk dijadikan koleksi peribadi, dengan harga yang mampu dibelanjakan tanpa rasa pembaziran.

Hayat rama-rama tidak lama, maksimum boleh hidup selama sebulan, sungguh sekejap. Hidup dalam kitaran yang hanya ada 4 peringkat, namun boleh jadi tarikan makhluk lain dalam Bumi ini, baik dari spesis haiwan, serangga, mahupun tumbuhan.

Ini kitar hidup rama-rama.

Rama-rama dikelaskan dalam keluarga serangga, memandangkan struktur organ rama-rama yang mudah, juga kitar hidup yang ringkas. Peringkat telur, kepada peringkat beluncas, memasuki peringkat pupa dan akhirnya terbentuk rama-rama pada peringkat dewasa - ringkas, namun cukup untuk membentuk hidupan yang sangat indah dan memukau pandangan, yang menambah warna pada kehidupan alam.

"A butterfly is an insect of the order Lepidoptera. Like all Lepidoptera, butterflies are notable for their unusual life cycle with a larval caterpillar stage, an inactive pupal stage, and a spectacular metamorphosis into a familiar and colourful winged adult form." - http://en.wikipedia.org/wiki/Butterfly

Ini struktur rama-rama dewasa.

Sejenak aku terfikir, minda membanding kehidupan makhluk primitif seperti rama-rama dengan kehidupan makhluk bernama manusia yang serba sempurna yang telah Tuhan cipta. Betapa aku sungguh bersyukur dilahir sebagai manusia, dapat berfikir, merasai suka dan duka, menikmati indah dan agung alam dunia, sambil belajar memahami pengertian realiti hidup sebenar. Benar-benar aku kagum akan ciptaan Tuhan, yang menjadikan siang diterangi matahari dan malam dihiasi bulan dan bintang, yang menganugerahkan sungai dan lautan dilengkapi hidupan, yang menggerakkan awan dan menitiskan hujan, yang memasakkan gunung-ganang diliputi hutan, yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Namun mana saja manusia yang berterima kasih dengan semua nikmat ini? Atau setidak-tidaknya menghargai segala kemudahan yang telah tersedia? Lihat saja kemusnahan alam sekitar akibat tangan-tangan rakus manusia.

Aku juga manusia, sebab itu aku tahu manusia selalu lupa, leka dengan nikmat, mudah dipengaruh kesoronokan batil, yang akhirnya merosak hanyut kehidupan. Perkataan 'manusia' itu sendiri diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud lupa. Oleh itu berpesan-pesan kepada kebenaran antara sesama manusia adalah tindakan terbaik untuk menyelamatkan manusia daripada terus diburu alpa. Kerana hidup manusia juga secara puratanya memang singkat, walaupun tidaklah sesingkat rama-rama, namun kalau tidak dimanfaatkan dengan perkara yang menguntungkan, hidup singkat rama-rama itu lebih mulia. Masakan tidak, manusia dianugerah akal untuk membanding kebenaran dan kebatilan. Namun andai akal tidak mampu berbuat demikian, apalah yang membezakan manusia dan rama-rama yang tidak punya akal. Malah sedangkal-dangkal rama-rama mampu memberi manfaat kepada makhluk lain - memberi kedamaian kepada manusia yang melihat keindahan corak sayapnya atau makanan kepada serangga lain yang melengkapkan kitar semulajadi alam. Inilah yang aku katakan hidup yang mulia, yang dapat memberi manfaat kepada hidupan lain, tidak kira berapa lama mampu hidup.

Pemergian seorang sahabat aku baru-baru ini amat mengingatkan aku pada kehidupan yang sesingkat hidup rama-rama, menyentap keinsafan aku, kematian boleh menjemput tanpa ada kekangan umur. Memanglah setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati, tapi semasa nyawa masih dikandung badan, aku mahu segala yang aku impi akan sempat aku realisasi. Semua manusia pasti punya impian, walaupun impian yang hanya mampu jadi angan-angan, kerana manusia punya kemahuan, punya tututan nafsu. Namun realitinya bukan semua manusia punya kesungguhan, sebab itulah impian hanya tinggal angan-angan, dan angan-angan bisa mati bila putus asa. Aku tidak mahu impian aku cuma jadi angan-angan. Aku juga bukanlah manusia yang mampat dengan kesungguhan. Selalu aku cepat mengalah kalau kecundang di pertengahan jalan. Aku mahu bunuh terus putus asa yang mahu bangkit.
Sebab aku bukan rama-rama yang punya sayap mempesona.

Inilah hasilnya. Aku sangkut pada dinding kabinet dalam ruangan seni yang aku memang sediakan. Walaupun keluasan ruangan seni itu hanya lebih kurang 30cm x 40cm, tapi aku puas dapat lihat ruangan comel itu hampir penuh. Harap-harap rama-rama itu tidak akan jadi rama-rama jadian bila bulan mengambang dan terbang lalu menggigit-gigit kulit halus-sawo-matang aku. Ohh...!!