Tuesday, June 30, 2009

berat jodoh?


Apakah kaitan perhentian bas dengan pasangan pengantin?
(maaf kawan, aku eksploitasi gambar kamu dan suami)


"Ada orang cakapla, wanita yang muda, dan juga berjaya ni selalunya berat jodoh. Betul ke?"

Petikan di atas adalah dialog dalam sitkom 'Fara'. Kalau dikaitkan dengan situasi sekarang, ada benarnya dialog tersebut. Namun begitu skala kejayaan wanita dengan wanita yang lain semestinya berbeza. Ada wanita merasakan kejayaan sudah dimiliki apabila mempunyai segulung ijazah. Ada wanita yang tidak merasa puas dengan hanya memiliki ijazah, lalu berusaha merebut jawatan tertinggi di syarikat-syarikat terkemuka. Ada juga wanita yang berjawatan tinggi tapi perlu mengumpul aset peribadi demi membuktikan kejayaan hidup. Ini cuma observasi cetek aku, berpandukan pandangan daripada rakan-rakan wanita aku. Apa jua tafsiran, kejayaan bergantung kepada usaha masing-masing, demi merangkul apa yang diimpi.

Ramai rakan-rakan yang seusia aku sudah dan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. Ada juga yang sudah memiliki beberapa cahaya mata. Lambat atau cepat jodoh seseorang sudah tertulis pada takdir masing-masing. Apa yang telah ditentukan adalah yang terbaik. Tidak semestinya wanita yang sudah berusia tapi masih belum mendirikan rumah tangga itu tidak ada jodoh, dan tidak semestinya wanita yang sudah berumah tangga itu sudah bertemu jodoh sehidup semati. Kalau begitu tidak wujudlah gelaran janda pada wanita. Apa yang pasti setiap makhluk di alam ini sudah Tuhan jadikan berpasang-pasangan, baik manusia mahupun tumbuhan. Ini juga observasi dangkal aku, yang menganalisis pengalaman hidup sambil berhipotesis di akal fikiran. Walaubagaimanapun, sungguh beruntung wanita yang menggunakan masa bujangnya untuk membina kerjaya seterusnya meraih apa yang diimpi, dan bila sudah bertemu jodoh, tumpuan seratus peratus dapat diperuntukkan demi membina keluarga yang unggul.

Sebetulnya, ada segelintir rakan-rakan wanita aku yang mengeluh kerana masih belum bertemu jodoh. Dan sejujur-jujurnya, aku juga pernah merasai demikian. Masakan tidak, melihat rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga macam melihat aku sudah ditinggal jauh kebelakang. Namun bila aku membandingkan diri aku dengan rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga, timbul rasa takut dan ragu-ragu terhadap kebolehan dan keyakinan aku untuk mempunyai dan menguruskan kehidupan berumah tangga. Pendek kata aku masih belum cukup bersedia untuk menghadapi semua cabaran itu. Aku punya pelbagai perkara yang mahu aku nikmati, yang aku fikir kalau aku berkeluarga segala perkara itu tidak dapat atau sukar untuk aku lakukan. Tanggungjawab menguruskan rumah tangga amat besar, dan semestinya memerlukan ketabahan yang bukan sedikit. Mungkin ada yang berpendapat observasi aku ini hanya berdasarkan situasi aku yang belum sampai jodoh, maksudnya aku hanya memberi alasan untuk menggapai itu dan ini, menjadi begitu dan begini kerana jodoh aku masih belum sampai. Apa jua pendapat, observasi ini adalah lahir daripada keadaan aku sekarang, dalam persekitaran yang aku jejaki hari ini, bukan semalam, bukan akan datang.

Bagi aku menanti jodoh datang macam menunggu bas di perhentian. Aku bagi perumpamaan menunggu bas sebab setiap hari aku menunggu bas untuk ke tempat kerja. Aku tergolong dalam golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri. Jadi bas menjadi pengangkutan awam utama untuk aku, disamping tambang yang berpatutan yang mampu aku biaya berbanding teksi. Berbalik kepada perumpamaan yang aku nyatakan tadi. Situasinya begini, bas yang ditunggu masih tidak muncul, biar sampai berkematu kaki berdiri atau kebas punggung berduduk. Kalau tidak ditunggu bersilih ganti melepasi pandangan mata. Masa itu rasa macam mahu tikam perut bas bertalu-talu. Kalau sudah menahan teksi dan separuh badan sudah memasuki perut teksi, ketika itulah bas muncul. Masa itu bukan setakat mahu tikam perut bas, perut pemandu bas dan perut pemandu teksi pun boleh jadi sasaran. Begitu juga dengan jodoh. Kalau ditunggu memang tidak akan sampai. Kalau tidak dinanti banyak pula datang. Keadaan ini sebenarnya turut dipengaruhi oleh rasa tidak sabar. Apabila mahukan sesuatu dan perlu menunggu untuk mendapatkannya, pastilah akan ternanti-nanti. Lebih-lebih lagi soal jodoh yang benar-benar di luar keupayaan dan pengetahuan manusia. Apa yang penting usaha harus mengiringi disamping doa yang tidak jemu-jemu, supaya jodoh yang datang adalah yang terbaik, yang melengkapi hidup.

**Aku suka lelaki kidal.** *blush*

No comments:

Post a Comment