Tuesday, June 30, 2009

berat jodoh?


Apakah kaitan perhentian bas dengan pasangan pengantin?
(maaf kawan, aku eksploitasi gambar kamu dan suami)


"Ada orang cakapla, wanita yang muda, dan juga berjaya ni selalunya berat jodoh. Betul ke?"

Petikan di atas adalah dialog dalam sitkom 'Fara'. Kalau dikaitkan dengan situasi sekarang, ada benarnya dialog tersebut. Namun begitu skala kejayaan wanita dengan wanita yang lain semestinya berbeza. Ada wanita merasakan kejayaan sudah dimiliki apabila mempunyai segulung ijazah. Ada wanita yang tidak merasa puas dengan hanya memiliki ijazah, lalu berusaha merebut jawatan tertinggi di syarikat-syarikat terkemuka. Ada juga wanita yang berjawatan tinggi tapi perlu mengumpul aset peribadi demi membuktikan kejayaan hidup. Ini cuma observasi cetek aku, berpandukan pandangan daripada rakan-rakan wanita aku. Apa jua tafsiran, kejayaan bergantung kepada usaha masing-masing, demi merangkul apa yang diimpi.

Ramai rakan-rakan yang seusia aku sudah dan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. Ada juga yang sudah memiliki beberapa cahaya mata. Lambat atau cepat jodoh seseorang sudah tertulis pada takdir masing-masing. Apa yang telah ditentukan adalah yang terbaik. Tidak semestinya wanita yang sudah berusia tapi masih belum mendirikan rumah tangga itu tidak ada jodoh, dan tidak semestinya wanita yang sudah berumah tangga itu sudah bertemu jodoh sehidup semati. Kalau begitu tidak wujudlah gelaran janda pada wanita. Apa yang pasti setiap makhluk di alam ini sudah Tuhan jadikan berpasang-pasangan, baik manusia mahupun tumbuhan. Ini juga observasi dangkal aku, yang menganalisis pengalaman hidup sambil berhipotesis di akal fikiran. Walaubagaimanapun, sungguh beruntung wanita yang menggunakan masa bujangnya untuk membina kerjaya seterusnya meraih apa yang diimpi, dan bila sudah bertemu jodoh, tumpuan seratus peratus dapat diperuntukkan demi membina keluarga yang unggul.

Sebetulnya, ada segelintir rakan-rakan wanita aku yang mengeluh kerana masih belum bertemu jodoh. Dan sejujur-jujurnya, aku juga pernah merasai demikian. Masakan tidak, melihat rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga macam melihat aku sudah ditinggal jauh kebelakang. Namun bila aku membandingkan diri aku dengan rakan-rakan seusia yang sudah berkeluarga, timbul rasa takut dan ragu-ragu terhadap kebolehan dan keyakinan aku untuk mempunyai dan menguruskan kehidupan berumah tangga. Pendek kata aku masih belum cukup bersedia untuk menghadapi semua cabaran itu. Aku punya pelbagai perkara yang mahu aku nikmati, yang aku fikir kalau aku berkeluarga segala perkara itu tidak dapat atau sukar untuk aku lakukan. Tanggungjawab menguruskan rumah tangga amat besar, dan semestinya memerlukan ketabahan yang bukan sedikit. Mungkin ada yang berpendapat observasi aku ini hanya berdasarkan situasi aku yang belum sampai jodoh, maksudnya aku hanya memberi alasan untuk menggapai itu dan ini, menjadi begitu dan begini kerana jodoh aku masih belum sampai. Apa jua pendapat, observasi ini adalah lahir daripada keadaan aku sekarang, dalam persekitaran yang aku jejaki hari ini, bukan semalam, bukan akan datang.

Bagi aku menanti jodoh datang macam menunggu bas di perhentian. Aku bagi perumpamaan menunggu bas sebab setiap hari aku menunggu bas untuk ke tempat kerja. Aku tergolong dalam golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri. Jadi bas menjadi pengangkutan awam utama untuk aku, disamping tambang yang berpatutan yang mampu aku biaya berbanding teksi. Berbalik kepada perumpamaan yang aku nyatakan tadi. Situasinya begini, bas yang ditunggu masih tidak muncul, biar sampai berkematu kaki berdiri atau kebas punggung berduduk. Kalau tidak ditunggu bersilih ganti melepasi pandangan mata. Masa itu rasa macam mahu tikam perut bas bertalu-talu. Kalau sudah menahan teksi dan separuh badan sudah memasuki perut teksi, ketika itulah bas muncul. Masa itu bukan setakat mahu tikam perut bas, perut pemandu bas dan perut pemandu teksi pun boleh jadi sasaran. Begitu juga dengan jodoh. Kalau ditunggu memang tidak akan sampai. Kalau tidak dinanti banyak pula datang. Keadaan ini sebenarnya turut dipengaruhi oleh rasa tidak sabar. Apabila mahukan sesuatu dan perlu menunggu untuk mendapatkannya, pastilah akan ternanti-nanti. Lebih-lebih lagi soal jodoh yang benar-benar di luar keupayaan dan pengetahuan manusia. Apa yang penting usaha harus mengiringi disamping doa yang tidak jemu-jemu, supaya jodoh yang datang adalah yang terbaik, yang melengkapi hidup.

**Aku suka lelaki kidal.** *blush*

Monday, June 29, 2009

rama-rama

Ini baru dibeli semalam, di kedai cenderahati Zoo Negara. Kali pertama dalam hidup melawat zoo. Rama-rama dalam frame ini diawet, kepak rama-rama yang cantik dan unik menambat hati untuk dijadikan koleksi peribadi, dengan harga yang mampu dibelanjakan tanpa rasa pembaziran.

Hayat rama-rama tidak lama, maksimum boleh hidup selama sebulan, sungguh sekejap. Hidup dalam kitaran yang hanya ada 4 peringkat, namun boleh jadi tarikan makhluk lain dalam Bumi ini, baik dari spesis haiwan, serangga, mahupun tumbuhan.

Ini kitar hidup rama-rama.

Rama-rama dikelaskan dalam keluarga serangga, memandangkan struktur organ rama-rama yang mudah, juga kitar hidup yang ringkas. Peringkat telur, kepada peringkat beluncas, memasuki peringkat pupa dan akhirnya terbentuk rama-rama pada peringkat dewasa - ringkas, namun cukup untuk membentuk hidupan yang sangat indah dan memukau pandangan, yang menambah warna pada kehidupan alam.

"A butterfly is an insect of the order Lepidoptera. Like all Lepidoptera, butterflies are notable for their unusual life cycle with a larval caterpillar stage, an inactive pupal stage, and a spectacular metamorphosis into a familiar and colourful winged adult form." - http://en.wikipedia.org/wiki/Butterfly

Ini struktur rama-rama dewasa.

Sejenak aku terfikir, minda membanding kehidupan makhluk primitif seperti rama-rama dengan kehidupan makhluk bernama manusia yang serba sempurna yang telah Tuhan cipta. Betapa aku sungguh bersyukur dilahir sebagai manusia, dapat berfikir, merasai suka dan duka, menikmati indah dan agung alam dunia, sambil belajar memahami pengertian realiti hidup sebenar. Benar-benar aku kagum akan ciptaan Tuhan, yang menjadikan siang diterangi matahari dan malam dihiasi bulan dan bintang, yang menganugerahkan sungai dan lautan dilengkapi hidupan, yang menggerakkan awan dan menitiskan hujan, yang memasakkan gunung-ganang diliputi hutan, yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Namun mana saja manusia yang berterima kasih dengan semua nikmat ini? Atau setidak-tidaknya menghargai segala kemudahan yang telah tersedia? Lihat saja kemusnahan alam sekitar akibat tangan-tangan rakus manusia.

Aku juga manusia, sebab itu aku tahu manusia selalu lupa, leka dengan nikmat, mudah dipengaruh kesoronokan batil, yang akhirnya merosak hanyut kehidupan. Perkataan 'manusia' itu sendiri diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud lupa. Oleh itu berpesan-pesan kepada kebenaran antara sesama manusia adalah tindakan terbaik untuk menyelamatkan manusia daripada terus diburu alpa. Kerana hidup manusia juga secara puratanya memang singkat, walaupun tidaklah sesingkat rama-rama, namun kalau tidak dimanfaatkan dengan perkara yang menguntungkan, hidup singkat rama-rama itu lebih mulia. Masakan tidak, manusia dianugerah akal untuk membanding kebenaran dan kebatilan. Namun andai akal tidak mampu berbuat demikian, apalah yang membezakan manusia dan rama-rama yang tidak punya akal. Malah sedangkal-dangkal rama-rama mampu memberi manfaat kepada makhluk lain - memberi kedamaian kepada manusia yang melihat keindahan corak sayapnya atau makanan kepada serangga lain yang melengkapkan kitar semulajadi alam. Inilah yang aku katakan hidup yang mulia, yang dapat memberi manfaat kepada hidupan lain, tidak kira berapa lama mampu hidup.

Pemergian seorang sahabat aku baru-baru ini amat mengingatkan aku pada kehidupan yang sesingkat hidup rama-rama, menyentap keinsafan aku, kematian boleh menjemput tanpa ada kekangan umur. Memanglah setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati, tapi semasa nyawa masih dikandung badan, aku mahu segala yang aku impi akan sempat aku realisasi. Semua manusia pasti punya impian, walaupun impian yang hanya mampu jadi angan-angan, kerana manusia punya kemahuan, punya tututan nafsu. Namun realitinya bukan semua manusia punya kesungguhan, sebab itulah impian hanya tinggal angan-angan, dan angan-angan bisa mati bila putus asa. Aku tidak mahu impian aku cuma jadi angan-angan. Aku juga bukanlah manusia yang mampat dengan kesungguhan. Selalu aku cepat mengalah kalau kecundang di pertengahan jalan. Aku mahu bunuh terus putus asa yang mahu bangkit.
Sebab aku bukan rama-rama yang punya sayap mempesona.

Inilah hasilnya. Aku sangkut pada dinding kabinet dalam ruangan seni yang aku memang sediakan. Walaupun keluasan ruangan seni itu hanya lebih kurang 30cm x 40cm, tapi aku puas dapat lihat ruangan comel itu hampir penuh. Harap-harap rama-rama itu tidak akan jadi rama-rama jadian bila bulan mengambang dan terbang lalu menggigit-gigit kulit halus-sawo-matang aku. Ohh...!!